PeNgikUt ShAyEr

Jan 30, 2011

Delete la sikap takbur!

Hindarilah sifat takbur kerana sifat itu amat dibenci oleh Allah Swt. Apakah sifat takbur itu?
Antaranya, orang yang menganggap rendah orang lain kerana ia merasa pandai atau lebih cerdik, atau lebih berketrampilan, itu adalah takbur. Kerana orang itu tidak menyedari bahawa Tuhan adalah sumber segala akal dan ilmu. Tuhan dengan sekelip mata mampu membuatkan orang itu gila, dan memberi ilmu, akal dan keterampilan kepada orang yang dianggap rendah tadi.
Demikian juga orang yang mempunyai rasa bangga akan harta, kedudukan dan pangkatnya lalu memandang rendah kepada orang lain. Itu juga satu sifat takbur. Kerana orang itu tidak menyedari bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa dalam sekelip mata boleh menurunkan musibah kepada orang itu sehingga orang itu menjadi orang yang terendah di antara yang paling rendah!
Begitu juga orang yang menyombongkan diri kerana kecantikan, kekuatan dan kemampuannya sehingga memperkecilkan orang lain, dan menyebut nama orang lain dengan panggilan yang merendahkan. Sedangkan orang itu tidak menyedari bahawa Tuhan dapat menimpakan keaiban-keaiban jasmani kepadanya sehingga dengan sekelip mata penampilannya lebih buruk dari orang yang telah diperkecilkannya!

Sifat angkuh dan sombong telah banyak membinasakan makhluk  Allah s.w.t., bermula  dari peristiwa pengusiran Iblis dari syurga kerana , lantaran niat sombongnya, enggan  sujud kepada Nabi Adam a.s tatkala diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk sujud hormat kepadanya.
Demikian juga Allah s.w.t telah menenggelamkan Qarun beserta seluruh hartanya ke dalam perut bumi disebabkan kesombongan dan keangkuhannya terhadap Allah s.w.t  dan juga kepada kaumnya sendiri. 

Allah s.w.t juga telah menenggelamkan Fir'aun dan bala tenteranya ke dalam laut kerana kesombongan dan keangkuhannya terhadap Allah s.w.t. dan juga kepada kaumnya sendiri, dan kerana kesombongannya itulah dia lupa diri sehingga dengan keangkuhannya dia menyatakan dirinya adalah tuhan yang mesti  disembah dan diagungkan. 

Kehancuran kaum Nabi Luth a.s juga karena kesombongan mereka dengan menolak kebenaran yang disampaikan Nabi Luth a.s. agar mereka meninggalkan kebiasaan buruk mereka iaitu melakukan penyimpangan seksual, yakni lebih suka memilih pasangan hidup sama jenis (homosek); sehingga tanpa disangka-sangka pada suatu pagi, Allah s.w.t  membalikkan bumi tempat tinggal mereka dan tiada  seorang pun dari mereka yang dapat menyelamatkan diri dari azab Allah yang datangnya secara  tiba-tiba itu. 

Dan masih banyak kisah lain yang dapat menyedarkan manusia dari  sifat sombong  dan angkuh, sekiranya mereka menggunakan hati nurani dan akalnya yang  sihat. 

Mengapa manusia dilarang bersikap sombong? Sebabnya ialah manusia adalah makhluk yang lemah. Layakkah makhluk yang lemah itu bermegah-megah dan sombong di hadapan penguasa langit dan bumi? Sayangnya,  realiti  masakini , kita dapati ramai  manusia  yang lupa hakikat dan jati dirinya, sehingga membuat dia sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain, serta memandang dirinya sempurna segala-galanya. 

Rasulullah s.a.w. , telah menjelaskan tentang bahayanya sifat  sombong  dan angkuh, sebagaimana diriwayatkan dari Abdullah Bin Mas'ud r.a., dari Nabi s.a.w , beliau bersabda,
"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong”, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Beliau bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia  menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (HR. Muslim) 

  
Imam An-Nawawi rahimahullah memberi komentar tentang hadis ini, "Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka dan menolak kebenaran". (Syarah Shahih Muslim 2/269). 

Al-Hafizh Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah berkata, "Orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak  mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong dari  menerima kebenaran dari orang lain". (Jami'ul Ulum Wal Hikam 2/275) 

Raghib Al-Asfahani rahimahullah berkata, "Sombong adalah keadaan  seseorang yang merasa bangga dengan dirinya sendiri, memandang dirinya lebih utama dari orang lain, kesombongan yang paling dahsyat adalah sombong kepada Rabbnya dengan cara menolak kebenaran (dari-Nya) dan angkuh untuk tunduk kepada-Nya baik berupa ketaatan maupun dalam mentauhidkan-Nya.” (Umdatul Qari` 22/140). 

Nash-nash Ilahiyyah banyak sekali mencela orang yang sombong dan angkuh, baik yang terdapat dalam Al-Qur`an maupun dalam As-Sunnah. 

1. Orang Yang Sombong Telah Mengabaikan Perintah Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman, artinya:
”Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (QS. 31:18) 

Ibnu Abbas r.a , ketika  menjelaskan makna firman Allah s.w.t: ”Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia” berkata: "Janganlah kamu sombong dan merendahkan manusia, hingga kamu memalingkan mukamu ketika mereka berbicara kepadamu." (Tafsir At-Thabari 21/74) 

Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan Firman Allah s.w.t., ”Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh”, maksudnya: ”Janganlah kamu menjadi orang yang sombong, keras kepala, berbuat sesuka hati, janganlah kamu lakukan semua itu yang menyebabkan Allah murka kepadamu". (Tafsir Ibnu Katsir 3/417). 

2. Orang Yang Sombong Menjadi Penghuni Neraka. 

Allah s.w.t berfirman, mafhumnya:
 ”(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masukilah pintu-pintu Neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah Neraka Jahannam”
 (QS. Az-Zumar: 72) 

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Tidak akan masuk syurga siapa  yang ada di dalam hatinya sedikit kesombongan." (HR. Muslim) 

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda, "Mahukah Aku beritahu  kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab: tentu (wahai Rasulullah), lalu beliau berkata: "(Penghuni syurga adalah) orang-orang yang lemah lagi direndahkan oleh orang lain, kalau dia bersumpah (berdo'a) kepada Allah nescaya Allah kabulkan do'anya, Mahukah Aku beritahu  kepada kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab: tentu (wahai Rasulullah), lalu beliau berkata: "(Penghuni neraka adalah) orang-orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong". (HR. Bukhari & Muslim) 

3. Orang Yang Sombong Pintu Hatinya Terkunci Dan Tertutup. 

Sebagaimana Firman Allah s.w.t.,mafhumnya:
"Demikianah Allah mengunci mati pintu hati orang yang sombong takbur , lsgi bermaharajalela pencerobohannya " (QS. Ghafir 35) 

Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata, "Sebagaimana Allah mengunci mati hati orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah maka demikian juga halnya Allah juga mengunci mati hati orang yang sombong lagi berbuat sewenang-wenangnya , yang demikian itu karena hati merupakan sumber pangkal kesombongan, sedangkan anggota tubuh hanya tunduk dan patuh mengikuti hati". (Fathul Qodir 4/492). 

4. Kesombongan Membawa Kepada Kehinaan Di Dunia Dan  Di Akhirat 

Orang yang sombong akan mendapat kehinaan di dunia ini berupa kejahilan, sebagai balasan dari perbuatannya. Perhatikanlah firman Allah s.w.t. , artinya: 
Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu)” 
(QS. Al-'Araf: 146) 
Maksudnya, iaitu,  Aku (Allah) halangi mereka dari memahami hujah-hujah dan dalil-dalil yang menunjukkan tentang keagungan-Ku, syari'at-Ku, hukum-hukum-Ku pada hati orang-orang yang sombong untuk ta'at kepada-Ku dan sombong kepada manusia tanpa alasan yang benar, sebagaimana mereka sombong tanpa alasan yang benar, maka Allah hinakan mereka dengan kebodohan (kejahilan). (Tafsir Ibnu Katsir 2/228) 

Kebodohan adalah sumber segala malapetaka, sehingga Allah sangat mencela orang-orang yang jahil dan orang-orang yang selesa  dengan kejahilannya, Allah s.w.t. berfirman, artinya: Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya). 
” (QS. Al-Anfal:22) 
Allah s.w.t menghina orang-orang yang tidak mahu menerima  kebenaran dan tidak mahu mengatakan yang haq, sehingga orang tersebut tidak memahami ayat-ayat-Nya yang pada akhirnya menyebabkan dia menjadi seorang yang jahil dan tidak mengerti apa-apa; dan kejahilan itulah bentuk kehinaan bagi orang-orang yang sombong. 

Dan orang yang sombong di akhirat dihinakan oleh Allah s.w.t. dengan mengecilkan  saiz tubuh mereka sekecil semut dan kehinaan datang kepada mereka  dari segenap penjuru , hal ini sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis berikut:

"Orang-orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari kiamat seperti dalam bentuk semut-semut kecil dengan rupa manusia, dari segala tempat datang kehinaan kepada mereka, mereka digiring ke penjara neraka jahannam yang di sebut Bulas, di bahagian atasnya api yang menyala-nyala dan mereka diberi minuman dari kotoran penghuni neraka".
(HR. Tirmizi & Ahmad, dihasankan oleh Syeikh Al-Albani dalam Al-Misykat) 

Semoga dengan merenungi nash-nash Ilahiyyah diatas, rahmat Allah akan sentiasa bersama kita dan menjauhkan kita dari sifat angkuh dan sombong.
(Abu Abdillah Dzahabi) 
P/s; Jom join ika. Harap dpt jadi panduan bersama. Sayangilah diri anda sume. Allahualam.

No comments:

Post a Comment